SELANGOR FC
BERITA

Pemain baharu #GergasiMerah Mendapat Penerimaan Baik Oleh Rakan Sepasukan

Feb 18, 2024 - FAS

Selangor FC telah mengumumkan lima pemain baharu, mengekalkan 26 pemain musim lalu dan membawa naik empat pemain muda skuad B23 Red Giants bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi Liga Malaysia musim 2024/2025.

Kem latihan Merah Kuning telah bermula sejak 5 Februari yang lalu bagi membantu para pemain mencapai tahap kecergasan yang baik sebelum melalui pramusim di luar negara. Pemain-pemain baharu, Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Azim Al Amin dan Nooa Laine telah menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain beberapa hari selepas mereka tiba di Malaysia.

Alvin Fortes telah diumumkan pada 4 Februari yang lalu dan beliau merupakan antara pemain import baharu yang telah mengikuti sesi latihan sejak dari awal ia dijalankan. Menurut beliau, “Rakan sepasukan yang lain menyambut kehadiran pemain baharu dengan baik. Ini sedikit sebanyak telah membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan lebih cepat. Saya juga akan sedaya upaya mendapatkan persefahaman bersama para pemain serta barisan jurulatih untuk sama-sama membantu kelab mencapai sasaran musim ini,” selepas diajukan perkembangan beliau bersama pasukan.

Selain beliau, Nooa Laine, pemain warisan baharu Gergasi Merah juga sempat kongsikan perasaan beliau selepas seminggu berlatih bersama rakan sepasukan, “Minggu pertama berlatihan bersama mereka berlalu dengan sangat baik. Mereka (pemain) telah membuat saya rasa dialu-alukan untuk berada di sini dan disebabkan itu, saya tidak mengambil masa yang lama untuk selesa bersama pasukan. Saya tidak sabar untuk lalui minggu-minggu seterusnya.”

Baca kemas kini berkenaan pasukan di sini.

Pihak pengurusan gembira dengan berita baik ini dan berharap pemain-pemain akan terus bantu satu sama lain untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan di kem latihan Merah Kuning.

Demi Kebanggaan!